Andai benar kita suka, pasti kita mengutamakannya.. Andai benar kita kasih, kita takkan biarkan dia tersisih, Jika benar kita sayang, kita takkan benarkan dia hilang...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Friday, 15 July 2016

DUKUN CINTA - BAB 1







BAB 1




Kalian tidak akan masuk syurga sampai kalian beriman, dan kalian tidak akan beriman sampai kalian saling mencintai. Tidak mahukah kalian, aku tunjukkan sesuatu yang jika kalian lakukan maka kalian akan saling mencintai: sebarkanlah salam diantara kalian. (HR Muslim)

Aku pernah ditanya tentang cinta. Waktu itu aku masih lagi kanak-kanak ceria, yang hingusnya meleleh di bibir dan dikesat menggunakan lengan baju sahaja. Menginjak dewasa, aku sekali lagi ditanya tentang cinta. Aku senyum. Pada aku waktu itu, cinta itu macam makan biskut. Sekejap dia ada, sekejap lagi hilang entah ke mana. Cinta monyet barangkalinya. Suatu hari, buat pertama kali dalam hidupku, aku terima sepucuk surat cinta. Waktu itu, aku melompat bagai nak gila. Teruja! Hahahaha..... Mula-mula terfikir nak sorok-sorok. Malulah, kalau ada yang tahu perihal aku terima surat cinta, tapi..... siapalah aku untuk zip mulut sendiri. Berita gembira, mestilah ingin dikongsi bersama. Orang pertama yang tahu, siapa lagi kalau bukan Sally. Wah! Nama sahaja macam orang putih, padahal dia sama seperti aku. Makan belacan berbakul-bakul.
            “Senyum sampai telinga. Ada berita gembira?” Sally tumpang tanya. Aku senyum angguk kepala. Dalam kepala ligat berfikir, macam mana nak mula cerita.
            “Oi, apa dia? Beritahulah!”
            “Kejaplah. Tengah fikir ini macam mana nak mulakan cerita.” Aku senyum. Mulalah, gedik bukan main.
            “Aku teka....” Sally seperti menahan. Macam tahu-tahu aje apa yang ada di kepala. Aku angkat kepala. Menunggu jawapan yang keluar dari bibir comel Sally.
            “Kau dapat surat cinta? Betul tak?” Tebak Sally. Walaupun tepat, reaksi yang aku beri tetap sama. Nak kelirukan dia.
            “Betul kan? Yani....?” Lengan aku jadi mangsa. Biasalah, kalau aku tak jawab soalannya. Puas lengan, hujung tudung aku ditariknya. Sudahnya, aku angguk mengiyakan. Cepat sahaja Sally menyoal aku kembali.
            “Daripada siapa?” Sally pamer wajah teruja.
            “Kau agak?” Aku peluk tubuh. Sengaja buat Sally tertanya-tanya. Hangat juga topik surat cinta petang itu.
            “Ala... malaslah aku nak agak-agak. Cakaplah cepat, siapa?” Sally muncung bibir.
            “Nan.” Sepotong nama yang terluah dari bibir. Melihat wajah Sally pelik, aku tahu dia masih samar-samar, atau lebih tepat lagi dia masih belum dapat menangkap, siapa Nan yang aku maksudkan. Kalau dia tahu, confirm menjerit minah ini nanti.
            “Nan mana? Roti nan? Pakcik Manan yang jadi jaga sekolah kita ini?” Mulalah. Sally merepek-repek.
            “Adnan. Budak kelas akaun.” Aku senyum. Bila malu, aku tunduk kepala. Dah tahu dah apa jadi lepas itu. Cepat-cepat aku tutup telinga.
            “Denan kacak lagi bergaya itu? Budak skema macho itu? Perggghhhhhh.... gila lah! Tak sangka aku wei, tak sangka.” Sally separuh menjerit. Dia tak percaya, apatah lagi aku. Siap tepuk pipi lagi wei... mimpi ke realiti.
            “Iyalah. Nan mana lagi...” Aku senyum kambing.
            “Beb, sumpah aku tak caya. Nan itu kan, walaupun skema tapi bab jodoh dia memilih beb. Bukan ke Nan itu syok kat Zuraini?” Sally ini memang tau. Mematahkan semangat aku yang tengah berbunga kembang ini.      
            “Memanglah dia syok dekat si Zuraini tu, tapi minah itu tak layan, siapa boleh tahan?” Aku ketawa. Mengalahkan langsuir ketawa tutup muka.
            “O, bila si Zuraini itu tak layan dia datang dekat kau lah ini. Kau pun satu, melayan. Dasar jantan pinggiran, buat perempuan macam pakaian. Yang kiri tak layan, dia beralih pada yang kanan. Yang kanan ditinggalkan, dia dok kejar yang depan. Huh!” Sally hambur marah. Aku diam. Tak ada modal nak lawan. Cakap-cakap Sally memang ada benarnya. Aku aje yang buta warna. Tak tahu warna apa yang ada depan mata. Hitam legam pun aku sebat, janji cinta yang diberinya.
            “Kau ini kan, suka buat hati aku goyah tau. Baru nak rasa nikmat cinta, kau dah susun strategi nk putuskan segalanya.” Aku bebel sengaja. Sally itu pun, bukannya boleh dipercaya.
            “Kau jangan cakap macam itu. Bila masa pulak aku ini nak putuskan semuanya, aku cuma nak ingatkan sahaja. Kau kena ingat, Nan itu buaya darat yang pandai pakai pakaian smart. Jangan sampai kau kecewa satu hari nanti.” Bebel Sally. Aku diam. Hati jahat ini terkadang tergelincir dari landasan. Lancar sahaja kepala membuat andaian jahat. Apalagi, kalau tidak kepala aku ini fikir yang Sally itu dengki dekat aku. Cemburu dengan aku. Iyalah, Nan suka pada aku, mustahillah perempuan lain tak cemburu.
            “Tak apalah Sally, kau janganlah risaukan aku. Aku tahu macam mana aku nak handle Nan itu. Kalau orang kata dia buaya, aku cubalah untuk jinakkan dia. Betul tak?” Aku senyum. Aku perasan bibir Sally mencebik.
            It’s up to you lah. Jangan esok, bila kau kecewa, kau cerita dekat aku yang kau kecewa. Aku dah nasihatkan, tapi kau tak nak dengar. Nan itu, boleh tahan. Mata keranjang. Aku tak rasa yang Nan itu boleh setia pada kau seorang,” sinis ayat Sally. Rasa berdengung telinga aku mendengarkannya.
            “Sally, tolonglah... Jangan cakap macam itu. Percayalah, Nan mampu untuk berubah. Aku yakin!” Hanya itu sahaja yang mampu keluar dari bibir aku. Sekarang ini, aku masih berada di atas pagar. Sebahagiannya aku percaya cakap-cakap Sally dan sebahagiannya lagi aku tetap kata Nan itu baik. Ermmm, entahlah.

PULANG dari sekolah aku dikejutkan dengan satu berita. Ibu kata ada seorang budak lelaki datang rumah jumpa abah. Aku tergamam. Tak sangka, berani betul mamat ini jumpa abah aku. Dia buat abah aku macam abah dia. Satu geng ke? Aku termenung...
            “Eliyani, dengar ke tidak apa yang ibu cakap?” Soal ibu. Aku sedikit tersentak. Lantas, aku menganggukkan kepala.
            “Yani dengar....” lama aku berjeda.
            “Tapi siapa?” Soalku.
            “Adnan, anak pakcik Marzuki.” Ujar ibu pendek.
            “Nan?” Aku terkejut bila ibu sebut nama Adnan. Sungguh berani. Setahu aku, ramai yang takut melihat misai melentik milik abah, tapi Nan? Dia berjaya membuatkan abah langsung tak marah pada dia.
            “Dia nak apa ibu?” Beg galas yang masih berada di belakang badan, aku hempas ke lantai. Ini semua gara-gara Nan. Tak pasal-pasal beg sekolah jenama Outdoor yang aku beli dengan hasil duit jual kuih tolong ibu yang menjadi mangsa. Soalan aku hanya mampu ibu jawab dengan bahu yang hinggut.
            “Ibu tak tahu. Awak tanya abah awak,” ibu terus berlalu ke dapur. Aku? Garu kepala lah. Apa lagi.
Beg yang aku hempas ke lantai, aku ambil semula. Bergegas aku melangkah ke bilik, sambil-sambil mata aku mencari kelibat abah. Langsung tak nampak.
            “Ibu.... abah mana?” Aku jerit dari muka pintu bilik.
            “Abah keluar ke bandar, cari barang wiring.” Ibu jawab. Aku cuma mampu tarik nafas dan hembus nafas dengan perasaan sebal dalam dada.
            “Ibu... Yani pinjam telefon sekejap eh. Nak telefon Sally.” Sekali lagi aku jerit. Telefon rumahlah yang menjadi penghubung antara aku dengan Sally jika kami berada di rumah, walhal rumah kami hanya jarak sepuluh langkah.
            “Jangan bergayut lama sangat. Nanti bil melambung!” pesan ibu. Aku senyum.
7..9..1..2..2..3..9.. Aku dail nombor telefon rumah Sally.
            “Assalammualaikum,” aku beri salam sebaik sahaja telingaku menangkap bunyi gagang diangkat.
            “Waalaikumsalam, nak cakap dengan siapa?” Soalan dari hujung talian.
            “Boleh cakap dengan Sally?” Soalku.
            “Sekejap.” Balasnya dan kemudian aku dengar bunyi buk, tanda gagang diletakkan di sebelah telefon.
            “Hello.” Suara Sally.
            “Hello wei, aku ada berita hot ini wei...” aku sedikit terjerit.
            “Hah? Apa dia?” Soal Sally tak sabar-sabar.
            “Beb, kau tahu tak Nan datang rumah aku beb. Jumpa abah aku...” aku sedikit terlompat-lompat. Masakan tidak, berita yang paling hangat yang pernah aku rasa dan mungkin tak akan ada siaran ulangannya lagi.
            “Kau biar betul beb.... tak akanlah Nan berani jumpa Pak Lias misai melentik itu. Ish..ish..ish...” ujar Sally. Aku dapat bayangkan yang dia tengah geleng kepala saat ini.
            “Kau tak percaya?” Tambahku.
            Definitely.” Jawab Sally.
            “Suka hati kau. Yang penting aku dah share dengan kau berita gembira. Selebihnya, up to you!” Sengaja aku tambah menyakitkan hati Sally. Dia pandang aku macam aku ini warga Zimbabwe pulak. Apa dia ingat, muka warga Zimbabwe ini tak layak nak dapat boyfriend ke? Piiirahhhhh......
            “Bukti?” Tiba-tiba pula mangkuk ini minta bukti. Aku pun apa lagi, jerit nama ibu lah.
            “Ibu....oooo...ibu....” Sekuat-kuat hati aku jerit, biar pecah gegendang telinga Sally.
            “Apa dia? Yang terjerit-jerit ini kenapa?” Ibu berdiri di sebelah aku. Terkejut!
            “Ibu, tadi anak Pakcik Marzuki tu datang rumah jumpa abah kan?” Soalku.
            “Iyalah. Kenapa? Nak kena cakap banyak kali dengan kamu ke? Kamu pekak? Tak dengar?” Sudahnya, aku yang kena pekak dengan ibu. Tak apa lah ibu, yang penting insan yang masih lagi menanti di hujung talian itu mendengar suara ibu sebagai bukti.
            “Ha..sekarang ini kau percaya tak? Atau kau masih lagi tak puas hati?” Aku senyum sambil dengan sengaja aku menjungkit-jungkitkan kening sendiri. Yelah, tak akan kening ibu aku pulak....
            “Aku memang tak boleh nak kata tak percaya sebab..... aku dengar suara ibu kau tadi tetapi....” Sally bertapi-tapi.
            “Tapi apa lagi? Nampak sangat kau tak puas hati kan? Cemburu lah tu...” Aku cebik bibir.
            “Aku cemburu? Silap orang lah makcik. Memang tak lah...” Kali ini aku dapat bayangkan muka Sally yang agak jengkel bila dengar aku cakap dia cemburu sebenarnya.
            So... terimalah kenyataan dengan reda,” kali ini aku sengaja mengusik. Biar hati dia tambah makin panas.
            “Jangan riak wei...” tiba-tiba pulak Sally sound aku macam itu.
            “Kalau iya pun agak-agaklah nak sound macam itu. Bila masa lah aku ini riak. Kau itu aje yang macam tak percayakan aku. Iyalah, aku taklah cantik macam kau. Muka aku inikan macam warga Zimbabwe, kau juga yang cakap. Okeylah beb, ibu aku panggil. Nanti kita sambung lagi,” aku buat keputusan untuk matikan talian. Terasa siutttt...
            “Kau jangan fikir yang bukan-bukan pulak. Aku tak ada niat nak kecilkan hati kau.” Sally berusaha untuk pujuk aku. Cepat-cepat aku geleng kepala walaupun aku sedar perbuatan aku tidak dapat dilihat oleh dia.
            “Okeylah. Jumpa esok dekat sekolah. Bye...” gagang aku lepaskan. Sesungguhnya sakit dihati hanya Tuhan sahaja yang tahu. Bengang betul.

No comments:

Post a Comment