Andai benar kita suka, pasti kita mengutamakannya.. Andai benar kita kasih, kita takkan biarkan dia tersisih, Jika benar kita sayang, kita takkan benarkan dia hilang...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, 25 January 2015

Kerja Amal Penulis - Dia pilihan Illahi karya S.N.Hidayah Haron


Kompilasi Karya Cinta (Love Story)

Alhamdulillah, untuk projek amal buat julung kalinya saya turut mengambil bahagian. Projek Amal yang dikendalikan oleh 8 penulis yang duduk dibawah satu bumbung, iaitu Karyaseni dan Penulisan2u. Projek ini diwujudkan bagi membantu rakan-rakan, saudara-saudara kami yang ditimpa musibah banjir tempohari. Tiada apa yang dapat kami berikan selain dari sumbangan yang tidak seberapa ini. Semoga niat suci kami ini mendapat keberkatan dan ganjaran dari-Nya.

Sedikit sedutan untuk Cerpen :



Dia pilihan Illahi karya saya S.N.Hidayah Haron.


Seminggu berlalu, Ruzila masih lagi berfikir. Duduk bermenung di dalam bilik dan terus berfikir. Letih kepala otak memikirkan masalah yang datang. Adik-adik yang menginginkan Irfan menjadi suaminya, sedangkan hatinya menolak sekerasnya. Dia tidak mengenali Irfan. Dia tidak tahu siapa Irfan. Dia jumpa Irfan secara kebetulan, tetapi mengapa Imam Saad inginkan dia menjadi permaisuri Irfan dan kenapa Irfan turut sama ingin meminangnya? Apa alasan Irfan? Ruzila buntu.
Telefon bimbit yang diletak di atas meja dicapai. Nombor telefon milik Hajah Asmah didail. Lama juga menunggu, akhirnya talian bersambut.
            “Assalammualaikum Hajah. Ruzila ini.” Ruzila beri salam.
            “Waalaikumsalam. Ruzila. Kenapa nak? Dah ada keputusan?” Soal Hajah Asmah. Cepat sangat bertanya, tak sabar ingin tahu.
            “Err, bukan macam itu Hajah. Emmm, boleh Ila minta nombor telefon Irfan?” Bergetar suaranya. Masakan tidak, menghubungi emak untuk mendapatkan nombor telefon anak lelakinya. Bukan ke seperti pepatah yang menunjukkan dirinya bagai perigi mencari timba.
            “Nak nombor Irfan? Boleh…..” Mula-mula terkejut, kemudian kata boleh pula. Ruzila garu kepala.
Selesai menyalin nombor telefon diatas sekeping kertas, Ruzila meneruskan perbualan buat seketika. Bertanya khabar Hajah, bertanya tentang kesihatan Imam Saad dan tak lupa juga soalan biasa yang selalunya akan ditanya. Apa lagi kalau bukan makan lauk apa hari ini?
            “Makcik masak asam pedas hari ini. Imam itu, tak padan dengan sakit, selera bagaikan orang sihat. Ila masak lauk apa hari ini?” Tanya Hajah.
            “Masak lauk ringkas sahaja Hajah. Lagi pun adik-adik tak memilih. Apa yang saya masak, itulah yang mereka makan.” Ruzila senyum walaupun dia tahu Hajah tidak akan melihat senyuman yang dipamer.
            “Emmm, Ila dah fikir? Dah ada keputusan?” Soalan yang langsung tidak dijangka oleh Ruzila.
            “Ehem.” Ruzila berdehem.
            “Hajah beri saya masa untuk berbincang dengan Irfan dahulu. Boleh Hajah?” Ruzila minta sedikit masa. Dan kerana sebab itulah Hajah dihubungi untuk mendapatkan nombor telefon Irfan.
            “Kalau begitu kata Ila, makcik tunggu keputusan Ila. Harap-harap tidak menghampakan.” Ujar Hajah penuh harapan. Pening Ruzila dibuatnya.
Usai solat Isya’, Ruzila meneruskan kerja-kerja menaip yang dibawa balik dari pejabat semalam. Masih banyak lagi kertas kerja yang perlu diselesaikan. Harap-harap sempatlah siap untuk pembentangan hari Isnin nanti.
Terpandangkan telefon bimbit yang diletak berhampiran meja kerja, teringat akan niat ingin menghubungi Irfan petang tadi.
            “Assalammualaikum.” Ruzila beri salam.
            “Waalaikumsalam. Siapa ini?” Irfan jawab salam dan kemudian dia bertanya.
            “Ruzila. Maaf menganggu. Boleh berborak sekejap?” Tanya Ruzila minta izin.
            “O, awak. Tak menganggu pun. Nak borak tentang hal apa?” Tanya Irfan.
            “Er, tentang kita.” Jawab Ruzila. Segan sebenarnya, tapi kena teruskan juga.
            “Kenapa dengan kita?” Irfan soal lagi. Senang jadi mamat nama Irfan ini kan? Kerjanya menyoal sahaja, yang susahnya Ruzila sebab nak menjawab soalan.
            “Awak yakin ke dengan apa yang awak buat sekarang ini? Yang awak pilih sekarang ini?” Kali ini Ruzila pula menyoal. Kalau boleh dia mahu dengar dari mulut Irfan sendiri apa alasan Irfan.
            “Yakin. Kenapa tanya?”
            “Saya mahukan penjelasan. Boleh berikan?” Pinta Ruzila.
            “Penjelasan yang macam mana yang awak nak?”
            “Penjelasan mengapa awak pilih saya. Mengapa awak minta mak awak risik saya. Adakah kerana permintaan arwah abah saya, atau desakan ayah awak atau awak sendiri yang menginginkan begitu?” Soal Ruzila.
            “Kerana pilihan Allah. Awak adalah pilihan dari-Nya. Dan saya yakin dengan keputusan saya.” Jawab Irfan. Suaranya sahaja kedengaran mendatar.
            “Saya tak faham. Kenapa mesti saya? Awak takde teman wanita lain ke?”
            “Ada.” Jawapan ringkas Irfan.
            “Habis itu? Dah ada teman wanita, lagi gatal nak berbinikan orang lain? Kesian teman wanita awak itu.” Bebel Ruzila. Tegak sahaja dia menegur.
            “Seperti yang saya katakan tadi, awak adalah pilihan Dia untuk saya. Teman wanita saya pula adalah pilihan saya. Bila saya diberi peluang untuk membuat pilihan, adalah lebih baik saya memilih pilihan yang telah Dia berikan untuk saya dari saya memilih pilihan saya sendiri. Ada sebab Dia pilih awak untuk saya, bukan teman wanita saya.” Bebel Irfan panjang lebar. Soalnya, faham ke Ruzila tentang apa yang Irfan bebelkan?
            “Eiii, saya tak fahamlah. Jangan bersastera dengan saya. Pening kepala. Kalau betul awak nak saya jadi isteri awak, saya ada beberapa syarat yang perlu awak ikut. Itu pun kalau awak tak keberatan dan sekiranya awak benar-benar nak memperisterikan sayalah.” Ruzila letak syarat. Dia tahu kemungkinan besar Irfan sendiri tak akan mampu. Atau, Irfan turut rasa terbeban bila mendengar syarat-syarat yang diletakkannya.
            “Apa syaratnya? Berapa banyak syarat pun In shaa Allah saya cuba penuhi.” Dihujung talian, Irfan gelak. Ruzila kembang hidung. Jengkel! Belagak!
            “Bila awak berkahwin dengan saya, itu bermakna awak turut berkahwin dengan isi rumah saya. Termasuk adik-adik saya. Sekiranya awak bawa saya berpindah, awak kenalah bawa adik-adik saya bersama. Kalau pergi bercuti……. Pun bawa adik-adik saya. Tak ada alasan untuk ketepikan kepentingan adik-adik saya. Awak boleh buat itu semua?” Soal Ruzila. Mendengar Irfan berjeda dihujung talian, Ruzila cuba membuat kesimpulan. Kemungkinan, Irfan dengan rela hati akan menarik diri. Itu dia pasti.
            “Itu aje?” Soalan ringkas dari bibir Irfan.
            “Haah..”
            “Awak ini. Saya ingatkan awak nak minta adik-adik awak naik pelamin dengan kita masa kita bersanding nanti. Tak pun, saya ingat awak minta adik-adik awak tidur sebilik dengan kita nanti waktu kita dah sah jadi suami isteri. Setakat makan pakai adik-adik awak, In shaa Allah awak tak payahlah risaulah. Jangan kata pergi bercuti, honeymoon yang kali kesepuluh pun saya tetap bawa adik-adik awak pergi dengan kita walaupun waktu itu adik awak dah bersuami atau beristeri. Amacam? Okey tak?” Irfan main gila. Ruzila dihujung talian mati kata.
            “Err, muktamad? Tak nak tarik diri?”
            “Saya? Tarik diri? Memang tak lah kan… So, kira jadi lah ini kan? Okey, nanti saya inform sendiri dengan umi saya. Awak jangan risau eh.” Irfan minta dia bertenang pula. Macam mana nak bertenang kalau begini pula gayanya?
            “Eh! Jangan tergesa-gesa. Saya belum habis fikir lagi.” Ruzila menahan.
            “Eh? Apesal pula? Bila awak meletakkan beberapa syarat, itu bermakna secara tidak langsung awak telah bersetuju dan kenapa pula timbul soal belum habis fikir Cik Ruzila binti Rosli?” Ha….amik kau. Nama penuh dia sebut siuutttt…
            “Errr…”
            “Okey my wife to be? Abang nak solat isya’ ini. Esok-esok kita sembang lagi ya? Soal umi, my wife to be janganlah risau. Pandailah hubby to be ini beritahu. Tunggu berita dari abang esok ya?” Aikkkkk? Sudah tukar ke?
Talian, Irfan matikan. Tak sempat cakap apa-apa pun. Jahat!

Isteri Tak Dijangka


Assalammualaikum wbkt...

Alhamdulillah, syukur saya ke hadrat Illahi, akhirnya baby yang kedua sudah pun keluar dengan versi cetak. Terima kasih buat Team Karyaseni dan Penulisan2u kerana masih memberi kepercayaan kepada saya untuk menjadi penulis dibawah naungan mereka. Terima kasih pada Dato Muzri, Encik Wan Ariff, Puan Norlaila dan semua staff KS & P2u yang banyak membantu.

ISTERI TAK DIJANGKA diterbitkan pada bulan Oktober 2014, setelah setahun berehat selepas baby pertama Takdir Buat Q yang diterbitkan pada bulan April 2013.

ITD kisah kekeluargaan yang biasa-biasa sahaja. terlalu pahit untuk ditelan tatkala karya ini di kritik hebat, tetapi saya menerima ianya sebagai salah satu rencah, didalam dunia penulisan. Kritikan yang memberi saya semangat untuk terus berdiri teguh didalam bidang penulisan dan seterusnya saya berazam untuk menghasilkan karya yang terbaik di masa akan datang.

Pada mereka-mereka yang sentiasa mengikuti saya di blog, grup When my finger dance, Alhamdulillah saya ucapkan berbanyak-banyak terima kasih. Tiada apa yang dapat saya berikan selain dari jutaan terima kasih. Tak lupa juga buat silent reader, walaupun tak pernah nampak review u all, tak dengar kritikan u all, tapi saya percaya anda menghargai bakat saya. Alhamdulillah, bakat yang dianugerahkan oleh Allah swt.

Sinopsis ITD :

ASMYALIANA ARIFFIN... Dia tidak sangka nasib hidupnya berubah dalam sekelip mata. Terpaksa berdepan dengan ujian, Mya reda menjadi umi dalam sekelip mata, menjadi isteri tak dijangka. Demi menjaga maruah diri, dia harus mengkhianati dan melukai hati seseorang

Atas alasan itu, Mya dan ZALIFF MOHAMMAD disatukan atas ugutan Mya sendiri setelah dirinya dinodai lelaki itu. Biarpun sudah beristerikan NATRAH yang merupakan kakak angkat baik kepada Mya, pemikiran cetek Zaliff yang berlandaskan nafsu telah menyebabkan Mya dilanda kegelapan. FAZZY, si kekasih hati Zaliff pula menjadi penambah duka dan lara kepada isteri pertama Natrah dan Mya isteri kedua.

“Dalam sampul surat ini ada dua barang. Satu barang adalah laporan kesihatan aku dan yang kedua adalah CD rakaman pencerobohan kau ke dalam rumah aku. Kau tengok dan kau analisis dulu okey? Lepas itu baru kau buat keputusan sama ada kau nak kritik atau kau nak aku jadi juri?” – MYA

“Kau nak ugut aku?” – ZALIFF

“Aku tak ugut kau, tapi aku cuma nak ingatkan kau. Kalau aku buat laporan polis, agak-agak kau boleh hidup aman macam orang lain tak? Kau dapat tak kahwin dengan Fazzy?” – MYA

Itu cerita sebelum Zaliff menikahi Mya, selepas kahwin perasaan benci terhadap Zaliff mula menipis dan mula terdetik dalam hati Mya apabila layanan kasar Zaliff terhadapnya semakin berubah secara perlahan ke arah kebaikan. Namun, Mya sedar siapa dirinya kepada Zaliff.

“Helo, tak bermakna bila aku minta kau kahwin dengan aku, aku kena ikut semua cakap kau. Hak aku adalah milik aku. Rumah aku tidak ada sesiapa pun boleh masuk sesuka hati kecuali aku.” – MYA

“Aku suami kau. Walau apapun jadi, aku masih tetap suami kau, walaupun kita nikah dekat Songkhla tapi pernikahan kita sah. Aku dah daftar pun pernikahan kita dekat pejabat agama. Kau kena ingat Mya, reda aku sebagai suami syurgalah tempat kau, murka aku sebagai suami, neraka jahanamlah tempat kau. Kau pilih, mana yang kau nak check-in?” – ZALIFF

Menjadi isteri kedua yang tak dijangka? Bersambutkah cinta? Bertautkah jiwa yang selama ini menjadi Tembok Besar China dalam hatinya? Bagaimanakah pula nasib Natrah yang menderita memendam rasa? Akankah ada penghujung cerita cinta tak dijangka antara Zaliff dan Mya?