Andai benar kita suka, pasti kita mengutamakannya.. Andai benar kita kasih, kita takkan biarkan dia tersisih, Jika benar kita sayang, kita takkan benarkan dia hilang...
Daisypath - Personal pictureDaisypath Anniversary tickers

Sunday, 7 September 2014

Dia Cinta Peribadi - BAB 1


BAB 1
Fatiha menangis lagi, entah untuk kali yang ke berapa. Sudahlah jatuh, ditimpa tangga pula. Perginya Rafiqi dari dunia ini, memberikan Fatiha gelaran janda. Gelaran yang paling ditakuti oleh setiap wanita yang sudah berumahtangga. Manakan ada wanita yang mahu memegang gelaran janda, jika tidak dirinya di cerai mati mahupun hidup.

Perut yang sedikit membengkak, di usap berkali-kali.

            “Anak umi, ayah dah tiada lagi. Umi cuma ada sayang aje sekarang ini. Umi tiada saudara mara, umi tiada ahli keluarga.” Rintih Fatiha sendiri. Rumah teres dua tingkat yang selama ini menjadi mahligai cinta buatnya dan Rafiqi di renung dari segenap ruang. Tatkala, matahari menjengah nanti, Fatiha terpaksa akur untuk keluar dari rumah itu. Sepanjang malam dia meratap, mengenang nasib yang tak pernah sudah.

            “Hei perempuan, kau ini tak habis-habis melalak, meroyan. Laki kau itu dah mati. Anak aku itu dah mati. Ini semua gara-gara dia berkahwin dengan perempuan yang bawa malang, macam kau ini. Entah dari mana kau datang, sampaikan cakap-cakap aku, anak aku dah tak dengar. Elok-elok aku pilihkan jodoh, eh perempuan sial ini juga si Rafiqi itu pilih. Entah ubat guna-guna apa yang dah kau berikan pada anak aku ha?” Bebel Puan Rubiah. Dari hari hingga ke minggu, tidak habis-habis menyalahkan Fatiha. Kematian Rafiqi disebabkan Fatiha. Rafiqi menolak jodoh yang dicarikan untuknya, adalah kerana Fatiha. Ubat guna-guna Fatiha. Fatiha bawa sial. Fatiha bawa malang. Tidak ada satu pun perkataan yang elok, untuk digambarkan tentang Fatiha. Semuanya tentang keburukan Fatiha.

            “Ibu, apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah swt. Siapalah Fatiha untuk menolak takdir dariNya? Kenapa lah ibu benci sangat pada Fatiha? Salah apa Fatiha pada ibu?” Fatiha menangis lagi. Tidak tertahan rasa hati pabila dirinya dikatakan pembawa malang. Tidak tertanggung beban di jiwa, apabila ibu mertuanya menyalahkan dirinya yang menjadi penyebab kematian suami. Sedangkan, dia tidak pernah menduga Rafiqi akan pergi meninggalkannya secepat ini. Jika waktu boleh diputar, mahu sahaja dia yang meminta supaya nyawanya di ganti buat Rafiqi.

            “Takdir yang kau cipta? Nasib yang kau buat? Macam itu? Hei Fatiha,  jangan kau panggil aku ini ibu, jijik aku mendengarnya. Kau dengar sini eh perempuan, aku nak esok pagi-pagi, kau keluar dari rumah ini. Jangan kau ambil satu pun barang dari dalam rumah ini kecuali kain baju kau. Kau ingat ye Fatiha. Aku tak nak tengok muka kau dekat sini lagi. Anak aku dah mati, ini semua punca dari kau. Apa yang tinggal ini adalah harta milik anak aku, dan aku haramkan kau jejak rumah anak aku ini lagi. Kau ingat apa yang aku cakap Fatiha.” Tanpa belas dan ihsan, Puan Rubiah tegar menghalau menantunya keluar dari rumah itu. Apa lagi yang tinggal pada Fatiha? Hanyalah cinta milik Rafiqi yang masih lagi tersemat kukuh di hati.
Perlahan-lahan Fatiha melangkah. Buat kali yang terakhir, mahligai cinta miliknya dan Rafiqi di jelajahi. Dari bilik tidur, hingga ke dapur, dari ruang tamu hingga ke bilik air. Semuanya di lihat satu persatu. Ya Allah, jika ini yang telah kau tentukan buat diriku, aku terima dengan hati yang terbuka. Sebagai hambaMu, aku redha dengan setiap rencanaMu. Aku redha dengan setiap ketentuanMu. Setiap yang berlaku, pasti ada hikmahnya, dan aku juga tahu tentang itu. Ya Rahman, hanya satu yang ku pohon dariMu, lindungilah diriku supaya aku dapat melindungi kandunganku, yang menjadi tanda cinta aku buat suamiku. Jika aku gagal dalam melaksanakan amanahMu, kau ambil lah aku Ya Allah…

Usai menunaikan solat subuh, Fatiha bersiap untuk meninggalkan istana yang pernah menjadi saksi cintanya. Walaupun berat hati untuk pergi, apalah dayanya jika Puan Rubiah sudah membenci.
            “Bismillahhirrahmanirrahim….” Ucap Fatiha perlahan.
Saat kakinya melangkah keluar dari pintu utama,
            ‘Abang, maafkan Fatiha kerana terpaksa memungkiri janji untuk menjaga mahligai cinta kita. Fatiha hanya mampu untuk berjanji pada abang, yang Fatiha akan jaga dan didik anak kita dengan sebaik mungkin, In shaa Allah. Fatiha doakan semoga abang tenang di sana. Fatiha akan sentiasa titipkan doa untuk abang. Semoga roh abang di cucuri rahmat, amin..’
Tidak menoleh, Fatiha terus pergi. Takut jika hatinya masih lagi mahu berdiri teguh bersama impian Rafiqi. Dia tidak mahu dirinya di caci, malah di hina. Cukup-cukuplah Puan Rubiah mengatakan dirinya pembawa sial. Dia tahu, di suatu hari nanti pasti Allah swt akan tunjukkan jalan yang benar pada ibu mertuanya itu nanti.

Terhencap-hencap Fatiha berjalan. Jauh juga dari kawasan perumahan menuju ke hentian bas. Kalau ikut hati, mahu sahaja dia memandu kereta Toyota Avanza yang menjadi hadiah buatnya, tetapi dia sendiri tidak mampu berbuat apa-apa kerana, Puan Rubiah terlebih dahulu merampas kunci kereta miliknya. Kejam. Itulah yang tergambar di benaknya saat ini. Di layan baik, sudahnya dia yang kena. Hendak memberi layanan buruk, cukup-cukuplah dia dikata pembawa malang. Takut pula nanti, si kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa. Haru pula dibuatnya.